KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan diri mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan pada pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.
Bekas Presiden UMNO mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya bangkit daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan meneruskan perjuangan.
“Saya akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Pekan,” katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitter beliau semalam.
Persidangan UMNO Bahagian dijadual berlangsung di seluruh 222 Bahagian UMNO pada 30 Jun ini serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.
Najib mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta pada 12 Mei lepas.
Bekas Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bertanggungjawab atas kekalahan BN pada PRU-14.
Najib menyifatkan masa untuk bersedih telah berlalu dan ahli-ahli UMNO perlu bangkit daripada kekalahan itu dan meneruskan perjuangan UMNO.
Menurut beliau, ahli UMNO hendaklah menguatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan UMNO.
“Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan UMNO, agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.
“Ini kerana UMNO telah banyak berjasa dan sinonim dengan pelbagai kejayaan negara kita. Insya-Allah, kita akan tabah menghadapi dugaan yang amat hebat dari Allah SWT, semoga Allah merahmati perjuangan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Najib memberitahu, beliau dalam proses untuk membuka sebuah pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemunya. Jelas Najib, beliau dan keluarga akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Pekan pada tahun ini.











