Arkitek baling kasut pada kucing didenda RM2,000 - Utusan Malaysia

Arkitek baling kasut pada kucing didenda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang arkitek yang membaling kasutnya kepada seekor kucing jalanan di lobi lif kondominium membawa padah apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Zaini Othman, 59, selepas lelaki itu yang memakai kemeja bercorak petak serta seluar slack dan kelihatan sugul mengaku bersalah atas pertuduhannya.

Mahkamah turut memerintahkan Zaini selaku Orang Kena Saman dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Zaini didakwa secara tidak wajar menakutkan seekor kucing berwarna hitam dengan membaling menggunakan kasut miliknya di tingkat 1, Lift Lobi Intan Tower Maskiara Residence, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail, di sini antara jam 6.40 petang dan 6.43 petang, 20 September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN