Apabila hak pengguna diperkotak-katikkan - Utusan Malaysia

Apabila hak pengguna diperkotak-katikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umat Islam pada bulan ini digalakkan beristiqomah mempertingkatkan amal ibadah.

Selain itu, bulan yang suci ini juga membuka peluang perniagaan yang luas kepada pengusaha untuk menawarkan pelbagai produk dan tawaran yang menarik khususnya bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sungguhpun ajaran Islam menyeru sikap dan adab yang mulia, sering kali kedengaran aduan daripada orang ramai terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Makanan tidak sedap, karipap oksigen, harga tak se­timpal dengan hasil, air macam air paip tak rasa apa-apa, barangan berkualiti rendah atau tidak sama yang dinyatakan merupakan antara aduan yang sering kita dengar.

Tidak dinafikan musim perayaan mampu melipat – gandakan jualan.

Laporan Penyiasatan Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2017 yang dijalankan Jabatan Statistik mendapati peratusan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas yang menggunakan internet adalah sebanyak 80.1 peratus.

Antara aktiviti popular mereka adalah melibatkan diri dalam rangkaian sosial (86.3 peratus), mendapatkan maklumat mengenai barangan dan perkhidmatan (80.4 peratus) dan menerima serta menghantar e-mel (70.4 peratus).

Angka tersebut jelas memperlihatkan peranan penting yang dimainkan dalam sektor perdagangan elektronik (e-Dagang) yang kian mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Perniagaan online bukan sahaja merupakan mod peruncitan yang dianggap tanpa sempadan, tetapi lebih mudah dengan pembelian yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa.

Menurut data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sehingga 31 Mei 2018, terdapat 72,579 perniagaan online yang berdaftar di Malaysia.

Menggunakan pendekatan pasaran yang berbeza de­ngan kaedah peruncitan biasa, pemasaran dalam talian kebiasaannya bersifat dinamik.

Kaedah “PM atau WhatsApp untuk mendapatkan harga dan maklumat lanjut” kian berleluasa pada hari ini.

Pada peringkat awal mungkin amalan itu boleh diterima tetapi semakin lama, pengguna semakin jelek dengan gimik perniagaan sebegitu rupa.

Ia tidak menunjukkan ketelusan pada perniagaan dan produk, di samping mewujudkan sikap wasangka bahawa produk tersebut dijual pada harga yang berbeza.

Mengenal pasti bahawa amalan “PM Tepi” ini sememangnya digunakan dalam kalangan perniagaan online, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengingatkan perniagaan online mematuhi udang-undang yang telah ditetapkan.

“Boleh PM Tepi tetapi pengguna dalam talian dan semua perniagaan web perlu memaparkan harga barangan yang dijual dan maklumat produk dengan jelas mengikut Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999,” kata kementerian berkenaan menerusi laman Facebook mereka.

Individu yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun peniaga berusaha untuk menaikkan kadar jualan, namun janganlah terlalu taksub sehingga melupakan tanggungjawab mereka.

Siapa yang rugi apabila pelanggan berasa hambar de­ngan sikap itu? Tentunya peniaga kerana bagi pengguna, pastinya terdapat pelbagai pilihan lain di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini