ALOR GAJAH 31 Mei – Kolej Universiti Islam Me-laka (KUIM) menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama di negara ini yang menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan mata pelajaran pencegahan ra-suah kepada pelajar di kampus universiti tersebut tidak lama lagi.
Menerusi kerjasama tersebut, KUIM akan mewajibkan semua pelajar mengambil modul mata pelajaran itu dalam usaha mencegah amalan rasuah, budaya salah guna kuasa dan salah laku kepada generasi pelajar.
Naib Canselor KUIM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Taib Dora berkata, KUIM merupakan IPTS pertama yang mengambil inisiatif ini untuk mewajibkan semua pelajar-nya mengambil mata pelajaran berasaskan kepada amalan integriti dan pencegahan rasuah.
“KUIM akan memasukkan modul pencegahan rasuah dalam mata pelajaran wajib di universiti ini dan kursus ini akan diambil oleh semua pelajar jurusan ijazah dan diploma.
“Kita akan jadikan ia sebagai mata pelajaran wajib dan ada di antara modul mata pelajaran ini akan diajar sendiri oleh Unit Latihan SPRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) KUIM di Auditorium Ibnu Khaldun kampus universiti itu di Kuala Sungai Baru dekat sini.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan turut dihadiri Pengarah SPRM Melaka, Abu Ta-lib Othman.
KUIM juga menjadi IPTS pertama di Melaka dan yang keempat di negara ini menubuhkan SPR namun ketika ini terdapat tujuh buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS telah mewujud kan sekretariat berkenaan.
Menurut Mohd. Taib, SPR adalah usaha KUIM untuk menyahut seruan kerajaan supaya bersama membanteras amalan rasuah bermula daripada golongan muda.
“Menerusi penubuhan SPR ini, pelajar diberi pendedahan dan maklumat mengenai amalan rasuah yang perlu dihindari dan bukan bersifat akademik. SPR ini akan diletakkan di bawah Majlis Perwakilan Pelajar dan ia merupakan satu entiti yang akan bergerak sekali dalam suara pelajar KUIM,” katanya.










