Amal Ramadan Celepets - Utusan Malaysia

Amal Ramadan Celepets

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN bukan sahaja peluang untuk umat Islam untuk melipatgandakan amalan ibadah, tetapi ia turut memberi kesedaran mensyukuri kurniaan Tuhan dan memberi sumbangan terhadap golongan kurang bernasib baik.

Terpanggil untuk saling membantu antara satu sama lain, tujuh selebriti jelita yang menamakan diri mereka sebagai Celepets turun padang bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Menjadi rutin Ramadan buat mereka sejak lapan tahun lalu, Celepets yang terdiri daripada barisan selebriti popular tanah air iaitu Sazzy Falak, Atiliah Haron, Dynas Mokhtar, Daphne Iking, Aishah Sinclair, Yasmin Hani dan Serena C aktif dalam menganjurkan pelbagai acara berteraskan kebajikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mewakili ahli Celepets yang lain, Sazzy memberitahu, selama ini mereka tidak pernah menjalankan aktiviti amal melibatkan ibu tunggal bersama golongan kurang bernasib baik.

Jadi untuk tahun ini, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan lantas memilih untuk membantu hampir 24 buah keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal dan individu kurang berkemampuan berbuka puasa bersama menerusi acara dikenali sebagai Malam Amal & Iftar Bersama Celepets.

Dalam majlis yang berlangsung sederhana di Coffee Bay, Sunway Nexis, Petaling Jaya, barisan selebriti berkenaan tampak ceria meluangkan waktu bersama sambil beramah mesra dengan golongan diraikan.

Mensyukuri nikmat

Tidak lekang mengukir senyuman, pelakon filem Gol & Gincu itu juga mengakui, penglibatannya dengan aktiviti amal banyak memberi kesedaran dalam mensyukuri ‘harta dunia’ yang dimilikinya sekarang.

Melanjutkan cerita mengenai penglibatan dalam aktiviti amal, baru-baru ini Celepets juga menganjurkan acara majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan.

Mendengar dan melihat sendiri keadaan mereka, Sazzy merasakan dirinya bertuah apabila dikelilingi individu yang sentiasa hadir memberi sokongan.

“Golongan ibu tunggal yang sendirian membesarkan anak mempunyai tanggungjawab lebih daripada biasa. Bukan sahaja perlu menjadi ibu, tetapi pada masa sama menjalankan peranan sebagai bapa.

“Melihat keadaan tersebut, saya berasa bersyukur kerana mempunyai suami, keluarga dan rakan yang sentiasa ada pada saat memerlukan,” tutur isteri kepada perunding kewangan dan selebriti, Nazril Idrus.

Emosi sama turut dirasai oleh penyanyi yang juga anak perempuan kepada pelantun lagu Gelombang, Salamiah Hassan, Atilia.

Persediaan

Menyentuh naluri kewanitaannya, Atilia tidak berfikir panjang untuk turut serta menjayakan acara tersebut.

Biarpun masing-masing sibuk dengan jadual seni, namun impak semangat kerjasama dan setiakawan, persiapan penganjuran majlis berkenaan hanya dilakukan dalam tempoh kurang daripada dua minggu.

Tempoh tersebut merangkumi persiapan majlis dan kutipan derma. Meskipun dilakukan dalam masa yang singkat, namun Celepets berjaya mengumpul dana sebanyak RM13,800.

Menerusi jumlah tersebut, ia diagihkan kepada 24 buah keluarga sebagai sumbangan dan duit raya.

Selain mengadakan acara berbuka puasa, acara tersebut turut dimeriahkan dengan permainan golf mini, khusus buat kanak-kanak.

Riak wajah kegembiraan kanak-kanak berkenaan nyata menghiburkan Celepets yang turut serta dalam permainan tersebut.

“Kutipan derma hanya dilakukan dalam tempoh singkat secara atas talian terutama di Instagram dan Facebook. Biarpun perancangan dilakukan secara mendadak tetapi ia tidak menghalang kami untuk merealisasikan impian membantu golongan memerlukan,” kata pelantun lagu Kekanda Adinda.

Bercerita tentang kesibukan kerjaya, berbeza pula buat Dynas Mokhtar yang baru mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama belahan hatinya, Shazrik Din pada 28 April lalu.

Luang waktu

Katanya, sepanjang Ramadan rutin hariannya lebih terisi bersama keluarga. Dia kembali menggalas peranan sebagai isteri setelah empat tahun menjalani kehidupan solo bersama dua cahayanya, Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 6.

Hadir bersama kedua-dua anaknya, Dynas mengharapkan penglibatannya dalam acara amal tersebut akan menjadi ikutan kepada cahaya matanya kelak.

Bukan sahaja dapat mendalami perasaan golongan yang kurang bernasib baik, tetapi aktiviti sebegitu secara tidak langsung membentuk sahsiah diri agar lebih prihatin dan mensyukuri nikmat Tuhan.

“Bulan Ramadan merupakan peluang untuk kita saling menginsafi dan mensyukuri rezeki terutama dengan melibatkan diri dengan aktiviti sebegini.

“Mudah-mudahan apa yang saya lakukan pada hari ini turut menjadi ikutan anak-anak saya pada masa mendatang,” terang Dynas seraya tersenyum.

Setiap kali menjelangnya Ramadan, tujuh sekawan yang menggelarkan grup mereka sebagai Celepets tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab membantu golongan kurang bernasib baik menerusi acara Malam Amal & Iftar Bersama Celepets.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini