KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu mengesan sebanyak 22 kesalahan dilakukan peniaga membabitkan jumlah kompaun RM3,600 sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 8 Jun lalu.
Pengarah KPDNKK Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, jumlah kesalahan yang dicatatkan itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 59 kes yang direkodkan pada skim kawalan harga musim perayaan tahun lepas.
“Skim kawalan harga barangan sempena Aidilfitri tahun ini bermula pada 8 Jun lalu dan berakhir esok. Sepanjang tempoh ia dikuatkuasakan, KPDNKK Terengganu telah mengenakan sebanyak 22 tindakan yang melibatkan pelbagai kesalahan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Terdapat penurunan daripada segi jumlah kes yang dicatatkan kerana peniaga, peruncit serta pemborong lebih peka dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain kesedaran di peringkat pengguna itu sendiri,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan skim kawalan harga musim perayaan di Pasar Payang di sini hari ini.
Menurut Saharuddin, sebanyak 1,138 premis di seluruh Terengganu telah diperiksa sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut bagi memantau pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong.
Jelasnya, 22 tindakan yang diambil membabitkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu, tidak meletakkan tanda harga serta menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum. – K! ONLINE









