SELAIN lambakan makanan pelbagai bentuk dan rupa, banyak juga cerita yang tidak sedap didengar bila bercakap mengenai bazar Ramadan.
Daripada harga barang yang tinggi melangit, kesesakan lalu lintas hinggalah isu makanan ‘kitar semula’ yang dijual kepada orang ramai.
Isu makanan recylce bukan lagi isu baharu bahkan menjadi mimpi ngeri pada mereka yang pernah terkena penangannya.
Penulis sendiri antara yang kerap ke bazar Ramadan dan semestinya pernah menjadi mangsa keracunan makanan, pengalaman yang cukup memeritkan apatah lagi ketika menjalani ibadah puasa.
Saya tidak menuding jari kepada semua peniaga dalam hal ini tetapi kerisauan pengguna terhadap keselamatan makanan yang disajikan peniaga seperti langsung tidak diambil peduli.
Lebih memburukkan keadaan apabila sebahagian besar daripada peniaga ini terdiri daripada ‘peniaga-peniaga segera’ yang berebut mengejar keuntungan dalam tempoh sebulan ini. Sudah pasti aspek kebersihan, halal atau haram sumber sesuatu makanan tidak dititikberatkan.
Itu belum mengambil kira golongan peniaga warga asing yang turut berniaga tanpa mengetahui langkah-langkah kebersihan dan kesihatan yang patut dipatuhi.
Persoalannya, sampai bila perkara ini akan dibiar tanpa penguatkuasaan sewajarnya sedangkan aspek kebersihan makanan sepatutnya tidak dikompromi seperti ditetapkan dalam perlesenan perniagaan atau penjaja.
Keadaan ini membuktikan betapa rendah kesedaran masyarakat kita terhadap isu keselamatan makanan.
Namun untuk mengubah situasi ini, kita tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa sepenuhnya kerana orang ramai sedar bahawa tanggungjawab memantau tapak-tapak bazar Ramadan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan ini bukan tugas yang mudah.
Justeru tidak salah jika kita sendiri sebagai pengguna memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab untuk melaporkan sebarang kesalahan peniaga kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.











