Warga Myanmar didakwa cuba rasuah polis marin - Utusan Malaysia

Warga Myanmar didakwa cuba rasuah polis marin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 23 Mei – Seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada pegawai penyiasat Polis Marin Langkawi, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada tertuduh, Soe Moe Thu, 33, di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu didakwa secara rasuah memberikan sesuatu suapan iaitu wang tunai RM1,600 kepada Inspektor Mohd. Yushaini Abu Bakar yang bertugas sebagai pegawai penyiasat Polis Marin Langkawi sebagai dorongan melepaskan diri kamu dan kesemua mereka yang ditahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira pukul 3.30 petang, 26 April lalu di Markas Operasi Polis Marin Wilayah (1), Persiaran Putra, Kuah di Langkawi selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdangangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Moe Thu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Jun depan untuk sebebutan semula bagi melantik jurubahasa Myanmar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN