Warga emas tidak dapat mengundi  - Utusan Malaysia

Warga emas tidak dapat mengundi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Polis Kelantan menerima satu laporan berhubung dakwaan seorang lelaki warga emas yang tidak dapat mengundi akibat kad pengenalannya digunakan individu lain untuk mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Abd. Hadi, Badang di sini hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan memberitahu mangsa yang berusia 78 tahun ditemani anaknya seorang jururawat datang ke sekolah tersebut mengundi bagi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang pada pukul 9 pagi.

Beliau berkata, semasa semakan dibuat oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas nama lelaki tersebut telah mendapati dia telah mengundi.

“Anak mangsa memaklumkan bahawa mereka baru sahaja tiba di pusat pengundian dari rumah di Kampung Perupuk Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan.

“Namun, semakan beberapa kali dibuat telah mengesahkan bahawa nombor kad pengenalan milik lelaki tersebut telah digunakan untuk mengundi sekaligus mengakibatkan warga emas berkenaan tidak dapat mengundi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya lagi, hasil siasatan awal turut mendapati mangsa tidak dapat berjalan kerana sakit tua selain memerlukan bantuan kerusi roda untuk mengundi.

Tambahnya, anak mangsa tidak berpuas hati dengan kawalan pihak SPR terhadap kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan meminta siasatan lanjut dijalankan. Kes terbabit telah dirujuk kepada SPR untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×