Kuala Lumpur 23 Mei – Wang tunai lebih setengah juta ringgit yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dari Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa milik NGO kemanusiaan, Kelab Putra 1Malaysia (KP1M).
Memetik laporan Malay Mail, Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mendakwa pelbagai wang asing yang dirampas juga milik KP1M.
“Matawang asing dari pelbagai negara merupakan milik Kelab Putra 1Malaysia yang telah menjalankan pelbagai misi bantuan kemanusiaan di 40 buah negara sebelum ini,” kata Abdul Azeez yang merupakan Presiden KP1M.
Media hari ini melaporkan beberapa anggota SPRM telah hadir ke beberapa buah kediaman Abdul Azeez semalam.
SPRM didakwa merampas wang tunai hampir RM500,000, lebih 20 jam tangan, dan lebih 20 mata wang asing pelbagai negara antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling dengan nilai tukaran sekitar RM1.2 juta.
Difahamkan serbuan yang bermula 12.30 tengah hari itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung lantikan kontraktor melibatkan projek seliaan Tabung Haji.-UTUSAN ONLINE











