KUALA LUMPUR 11 Mei – Mana-mana ahli politik yang dibayar untuk lompat parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan dianggap sebagai rasuah dan bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Demikian ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohahamd berhubung dakwaan ada wakil rakyat yang baru dipilih pada pilihan raya umum lalu akan melompat parti,
Beliau berkata sekiranya terdapat cubaan ‘membeli’ wakil rakyat atau menteri, perkara tersebut dilihat sebagai rasuah dan tindakan akan diambil.
“Wakil rakyat boleh menukar parti tetapi mestilah dengan prinsip dan sukarela bukannya kerana dibayar oleh orang tertentu supaya tukar parti.
“Jika terdapat mana-mana wakil rakyat atau menteri yang ‘lompat’ parti kerana ‘dibeli’ kami akan menyiasat perkara itu dan menganggapnya sebagai rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat ringkas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk mengumumkan 10 kementerian di bawah pentadbirannya di Yayasan Al-Bukhari pagi tadi.
Dalam pada itu beliau juga mengulas mengenai beberapa negeri yang masih belum dapat menubuhkan kerajaan kerana tidak mendapat majoriti mudah.
“Saya akan menyiasat perkara ini dengan teliti, sekiranya terdapat terbukti rasuah, tindakan akan diambil.
“Tindakan sedemikian serupa seperti membeli undi untuk mendapatkan sokongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










