PENAMPANG 12 Mei – Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) tetapi akan terus menyokong kerajaan negeri yang telah dibentuk secara sah dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.
Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, PBS turut menubuhkan satu platform baharu iaitu Gabungan Bersatu bagi memberi peluang kepada semua wakil rakyat kerajaan negeri menjadi ahli PBS untuk meneruskan perjuangan politik dan berkhidmat kepada rakyat Sabah.
Menurutnya, model tersebut merupakan satu perjanjian kerjasama politik yang akan ditandatangani semua pihak yang boleh disertai semua parti komponen dalam BN iaitu UMNO, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO), PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Berdasarkan keputusan pilihan raya, kedua-duanya di peringkat megeri dan Persekutuan, jelas bahawa platform BN tidak lagi menjadi gabungan politik yang berdaya maju.
“Oleh itu, PBS mengambil kedudukan untuk menawarkan satu platform baharu bagi memperkukuhkan hubungan politik antara semua parti di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










