PUTRAJAYA 22 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak akan kembali semula ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung skandal penyelewengan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).
Video oleh ZAKI AMIRUDDIN
Bekas Perdana Menteri itu berkata, untuk hari ini beliau telah memberi keterangan hampir lima jam iaitu bermula pukul 10 pagi sehingga 2.15 petang.
“Saya telah menjelaskan keterangan yang lebih terperinci menerusi pengesahan beberapa dokumen.
“Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana melakukan kerja secara profesional,” katanya kepada lebih 100 petugas media selepas selesai memberikan keterangan tersebut hari ini.
Kehadiran beliau ke Ibu pejabat SPRM tersebut turut ditemani peguamnya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.
Pada 18 Mei lalu, SPRM menyerahkan notis kepada Najib agar hadir ke pejabat suruhanjaya bagi memberikan keterangan berhubung siasatan skandal penyelewengan dalam SRC International iaitu anak syarikat 1Malaysia Development (1MDB).










