KUALA LUMPUR 29 Mei – Kesempatan cuti umum Hari Wesak hari ini tidak dilepaskan warga kota untuk membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini sebagai persiapan menjelang Syawal yang hanya tinggal dua minggu lagi.
Tinjauan Utusan Malaysia sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India di sini terus sesak dengan orang ramai termasuk mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur untuk mendapatkan barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.
Hujan lebat bermula pada pukul 12 tengah hari itu tidak menghalang orang ramai untuk kembali semula ke bazar Aidilfitri selepas reda kira-kira tiga jam selepas itu untuk membelek kelengkapan yang ditawarkan peniaga pada harga istimewa.
Situasi sama dapat dilihat di gedung-gedung beli-belah berhampiran yang tidak putus-putus dikunjungi orang ramai sama ada yang memandu kenderaan sendiri mahupun menaiki pengangkutan awam seperti komuter, Transit Aliran Ringan dan monorel.
Salah seorang pengunjung, Rita Zahara Ali, 30, berkata, kunjungannya bersama keluarga ke Jalan TAR terhenti seketika apabila hujan lebat dan beralih untuk berteduh di pusat membeli-belah Sogo dan Jakel Mall.
“Saya dan suami mengambil kesempatan cuti umum hari ini untuk membeli kelengkapan pakaian anak-anak dan kemungkinan akan terus berbuka puasa sekitar Jalan TAR sahaja memandangkan hari semakin lewat petang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, seorang peniaga songkok, Rahmat Mohd. Norazmi, 28, berkata, jumlah kunjungan orang ramai hari ini lebih berganda berbanding hari-hari biasa.
“Sebaik hujan berhenti kira-kira pukul tiga petang tadi, orang ramai kembali semula memenuhi setiap pelosok lorong sepanjang Jalan TAR dan Jalan Masjid India untuk terus berbelanja,” katanya. – UTUSAN ONLINE











