KUALA TERENGGANU 23 Mei – Rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini malam tadi, namun kedukaan tidak berlarutan apabila Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini membawa khabar yang melegakan.
Peruntukan dianggarkan RM100,000 disediakan bagi membina semula dua unit rumah buat dua keluarga malang itu dalam kadar segera yang diharapkan dapat membolehkan mereka mendiaminya semasa menyambut Aidilfitri.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, bantuan disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kira-kira RM60,000 manakala syarikat kerajaan negeri, TDM sebanyak RM40,000.
Katanya, selain itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut membantu untuk memberi keperluan kepada mangsa kebakaran bagi mengurangkan bebanan mereka.
“Maidam dan TDM diberi tanggungjawab untuk membina semula dua rumah yang musnah ini dalam waktu yang terdekat. InsyaAllah sebelum hari raya rumah berkenaan dapat disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menijau lokasi kebakaran petang ini, dan bertanya khabar keadaan keluarga mangsa.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik.
Seramai 12 mangsa daripada dua keluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang dipercayai berpunca dari air dapur di salah sebuah rumah.
Mereka terdiri daripada keluarga Wan Mohd Ilias Abdul Razak,43, bersama Maznah Mat,80, dan kedua-duanya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi perhatian segera terhadap nasib mereka.-UTUSAN ONLINE










