PULAU PINANG 13 Mei – UMNO negeri ini akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai hala tuju parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebaik sahaja Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selesai dibentuk.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau akan mengusulkan pertemuan dengan kesemua pucuk pimpinan UMNO negeri bagi membincangkan perkara tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO masih lagi parti relevan dan diperlukan rakyat khususnya orang Melayu dan perkara itu dibuktikan menerusi kemenangan calon mereka pada PRU-14 termasuk di kerusi ditandinginya iaitu Parlimen Kepala Batas.
“Selain itu, calon UMNO juga berjaya menang di Tasek Gelugor dan dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) (Permatang Berangan, Sungai Dua).
“Kita tahu wakil rakyat UMNO bakal melalui tempoh sukar apabila Kerajaan Pusat sudah bertukar namun itu tidak akan menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat yang memilih kami,” katanya selepas majlis kesyukuran sempena ulang tahun UMNO ke-72 di sini malam tadi.
Mengulas mengenai prestasi UMNO negeri pada PRU-14, Reezal Merican mengakui kekalahan parti itu khususnya kegagalan mempertahankan kerusi sedia ada adalah di luar jangkaan.
Ini kerana, kata beliau, pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat sewaktu turun berkempen malah sambutan yang diberikan pengundi kepada calon UMNO juga sangat positif.
“Selain itu, calon-calon yang bertanding sebelum ini juga adalah bekas wakil rakyat di situ, bukannya orang luar.
“Apa-apa pun kita reda dengan kehendak rakyat dan kini adalah masa untuk bermuhasabah,” katanya.
Pada PRU-14, Reezal Merican berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas selepas menewaskan calon PKR, Dr. Zaidi Zakaria dan calon Pas, Mastura Muhammad.
Bagaimanapun, UMNO negeri ini mengalami kekalahan teruk selepas hanya berjaya menang empat kerusi iaitu masing-masing dua Parlimen dan DUN berbanding tiga Parlimen dan 10 DUN pada PRU-13.










