Studio podcast TVPSS Jasmin on The Go generasi berkomunikasi

Studio podcast TVPSS Jasmin on The Go lahirkan generasi mahir berkomunikasi

Murid Tingkatan 3, SMK Jamin 2 Muhammad Iskandar (kiri) dan Syifa Hanie (kanan)meningkatkan keyakinan diri melalui penglibatan sebagai pengacara dalam sesi podcast TVPSS Jasmin On The Go.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penubuhan Studio Podcast (audio siar) Televisyen Pusat Sumber Sekolah TVPSS Jasmin On The Go di SMK Taman Jasmin 2, Kajang merupakan manifestasi komitmen sekolah dalam merealisasikan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memperkasa TVPSS sebagai medium pembelajaran digital yang inovatif.

Selaras dengan aspirasi pendidikan negara yang menekankan pembelajaran berasaskan teknologi, komunikasi dan kreativiti, sekolah mengambil langkah proaktif membangunkan studio podcast sebagai platform pembelajaran autentik yang mampu melahirkan murid berkemahiran tinggi, berfikiran kritis dan yakin berkomunikasi.

 

Menurut penyelaras TVPSS SMK Taman Jasmin 2, Dilla Abdul Majid, pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang dilaksanakan menerusi Studio Podcast TVPSS membantu murid berkomunikasi dengan lebih berkesan, berfikiran kritis dan berani menyampaikan idea di hadapan khalayak.

Aktiviti ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran bertutur, mendengar, membaca dan menulis dalam situasi sebenar, sekali gus menyokong pencapaian objektif pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Podcast memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam suasana sebenar. Mereka bukan sahaja menjadi penyampai maklumat, malah belajar merancang kandungan, mengemukakan soalan, berinteraksi dengan tetamu dan mengendalikan teknologi rakaman. Pengalaman ini secara langsung meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi mereka,” katanya.

Pendekatan ini turut menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) kerana memberi peluang kepada guru menilai penguasaan murid melalui tugasan yang autentik. Murid bukan sahaja menguasai kandungan pembelajaran, malah mampu mengaplikasikan pengetahuan, berfikir secara kritis, menyampaikan hujah dengan yakin dan menghasilkan produk digital yang berkualiti.

Secara tidak langsung, Studio Podcast TVPSS menjadi pemangkin kepada peningkatan Tahap Penguasaan (TP) murid serta melahirkan generasi yang celik digital, petah berkomunikasi dan bersedia menghadapi cabaran dunia masa hadapan.

Penubuhan studio ini bukan sekadar menambah kemudahan fizikal di sekolah, malah menjadi satu ekosistem pembelajaran yang membolehkan murid mengembangkan potensi diri melalui penghasilan kandungan digital yang berkualiti.

 

 

Menerusi Studio Podcast TVPSS Jasmin On The Go, murid berpeluang mengendalikan sesi temu bual, menjadi pengacara, menghasilkan skrip, mengurus rakaman serta menyunting audio dan video menggunakan teknologi semasa. Pengalaman pembelajaran secara langsung ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi, malah memupuk keyakinan diri, kreativiti, kepimpinan dan semangat kerja berpasukan.

Sementara itu, Pengetua SMK Taman Jasmin 2, Musalmahwati Abdul Mubin berharap guru-guru memanfaatkan Studio Podcast TVPSS sebagai medium PdP yang lebih kreatif dan interaktif.

 

“Gunakanlah kemudahan ini sebagai pemangkin transformasi PdP berpaksikan murid dan berteknologi tinggi untuk menghasilkan kandungan pembelajaran yang menarik agar murid lebih berminat serta dapat mengembangkan kemahiran komunikasi dan kreativiti mereka,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pandangan bahawa pada masa hadapan, pihak sekolah akan terus menambah baik kemudahan Studio Podcast TVPSS serta memperluaskan penggunaannya dalam pelbagai program sekolah dan menjadi ruang inovasi pedagogi bermakna untuk para guru dan murid berkarya.

“Harapan saya, studio ini menjadi pusat penghasilan kandungan digital yang berkualiti dan mampu menyerlahkan potensi murid serta mengharumkan nama sekolah.” ujarnya.

Bagi memastikan manfaat studio ini dapat dirasai oleh seluruh warga sekolah, setiap kelas akan menggunakan Studio Podcast TVPSS secara bergilir mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Kandungan yang dihasilkan akan disunting oleh pasukan TVPSS sebelum dimuat naik ke saluran YouTube rasmi TVPSS Jasmin On The Go, sekali gus menjadi medium penyebaran ilmu, perkongsian idea dan dokumentasi aktiviti sekolah.

Terdapat pelbagai topik yang diketengahkan termasuklah teknik pembelajaran berkesan, motivasi murid, literasi digital, keselamatan siber, isu semasa, STEM, pembangunan sahsiah, kerjaya, keusahawanan, bahasa dan komunikasi, selain liputan program-program sekolah.

Dengan terlaksananya inisiatif berkenaan, SMK Taman Jasmin 2 membuktikan bahawa aspirasi Kementerian Pendidikan bukan sekadar dasar di atas kertas, sebaliknya berjaya diterjemahkan kepada amalan yang memberi impak sebenar kepada pembangunan potensi murid.

Studio Podcast TVPSS Jasmin On The Go kini menjadi simbol transformasi pendidikan sekolah dalam melahirkan generasi yang berani bersuara, berkongsi idea dan menginspirasi masyarakat melalui komunikasi yang berkesan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×