KUALA LUMPUR – UMNO semalam mengkritik hasrat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar bernilai RM1 trilion.
Dalam satu kenyataan akhbar semalam, UMNO berkata, pihaknya kecewa apabila Kerajaan Persekutuan kini bertindak di luar kawalan dengan menggunakan syarikat milik kerajaan (GLC) atas kepentingan pihak tertentu.
“BN dan UMNO tidak bersetuju dengan apa saja alasan jika kerajaan berhasrat menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang yang sering dipolitikkan.
“Apa tujuan sebenar dan apakah maksud terlindung kepada hasrat yang dikemukakan secara tiba-tiba itu? Jika idea itu digunakan, apakah kerajaan sudah ketandusan idea untuk mentadbir ekonomi Malaysia yang mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor’s atau Moody’s dan Fitch?
“Berhentilah daripada mempolitikkan hutang negara. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya RM1 trilion,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.











