BERCAKAP tentang Piala Dunia 2010 ia boleh dikatakan sebagai penganjuran yang penuh dengan cabaran buat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ini juga adalah kali pertama Afrika Selatan menjadi penganjur Piala Dunia selepas berjaya menewaskan Maghribi dan Mesir dalam proses pembidaan.
Cabaran dihadapi oleh tuan rumah apabila sebulan sebelum kejohanan bermula terdapat khabar angin bahawa ia akan menjadi tumpuan pengganas di Afrika Selatan.
Keadaan tersebut menyebabkan tuan rumah terpaksa meningkatkan keselamatan di tahap tertinggi bagi mengelak daripada insiden tidak diingini.
Penganjuran berjalan dengan lancar yang menyaksikan Sepanyol sering dilabel pasukan underachiever kerana mereka kerap dibarisi pemain ternama dan berkualiti tetapi gagal mencapai keputusan diharapkan namun telah meraih satu kecemerlangan mengejutkan, sekali gus membuktikan keupayaan sebenar mereka.
Dalam aksi final, perlawanan menyaksikan Sepanyol terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mendapatkan kemenangan ke atas Belanda
Sepanyol meraih gelaran dalam saingan akhir tersebut menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Belanda hasil jaringan Andres Iniesta ketika aksi masa tambahan.
Perlawanan akhir ini pastinya menarik untuk dikenang kerana dua pasukan tersebut dianggap underachiever kerana mempunyai barisan pemain mantap generasi demi generasi tetapi terlalu sukar meraih kecemerlangan berprestij.
Kejohanan 2010 juga membawa satu makna tersendiri kerana kali pertama pasukan dari Eropah menjuarai kejohanan Piala Dunia yang dilangsungkan di luar benua tersebut.
Dalam penganjuran Piala Dunia 2010, maskot rasmi yang digunakan ialah Zakumi, seekor harimau bintang bersifat manusia yang berambut hijau, diperkenalkan pada 22 September 2008.
Zakumi dipetik daripada ZA yang juga singkatan antarabangsa untuk Afrika Selatan, dan kumi, yang bermaksud ‘10’ dalam pelbagai bahasa Afrika malah warna hijau kuning maskot tersebut turut mencerminkan warna-warna yang dipakai oleh pasukan tuan rumah, Afrika Selatan.
Turut mencuri tumpuan ialah lagu temanya, Waka Waka yang dinyanyikan oleh artis Colombia, Shakira dan kumpulan Freshlyground dalam dua bahasa bahasa, bahasa Inggeris dan Sepanyol.
Lagu tersebut dihasilkan berdasarkan lagu tradisi tentera di negara itu bermana Zangalewa malah nama Shakira melonjak naik menerusi lagu Waka Waka.










