Kuala Lumpur 22 Mei – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar pertamanya selepas memulakan tugas rasmi di Kementerian Dalam Negeri telah memberikan penerangan mengenai isu-isu keselamatan dan ketenteraman yang telah dibangkitkan dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang bertekad untuk meningkatkan aspek keselamatan negara turut memberi jaminan dalam menangani masalah penyalahgunaan kuasa serta jenayah rasuah tidak kira di peringkat mana pun.
Berikut merupakan kenyataan Muhyiddin mengenai beberapa perkara dalam Manifesto PH yang telah disentuh beliau:
1. Kedudukan PDRM:
Untuk menjadikan imej pasukan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dihormati dan disegani, kita menyediakan sokongan kewa-ngan dan prasarana selayaknya kepada PDRM walaupun dalam keadaan keterbatasan belanjawan, itu akan diambil kira serta menaik taraf kemudahan untuk anggota polis terutama yang berpangkat rendah.
2. Status Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis:
Menubuhkan Status Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ini telah lama dibincangkan tetapi ini akan kita halusi sebagaimana disebut dalam manifesto kita.
3. Kajian semula undang-undang:
Menghapuskan undang-undang yang tidak sesuai de-ngan landskap hari ini seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), hukuman gantung mandatori, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), ini semua akan disemak dan dikaji balik jika terdapat keperluan.
4. Rakyat luar bandar dan pendalaman:
Membela nasib rakyat luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Jadi kita hendak kurangkan birokrasi dalam proses pendaftaran anak dan warga Malaysia yang tiada kerakyatan selari dengan prinsip keadilan, keharmonian dan kesamarataan.
5. Kedaulatan Sabah dan Sarawak:
Kita hendak cari jalan penyelesaian secara adil dalam isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan daftar pemilih di Sabah ini dapat kita bersihkan.
6. Perangi jenayah:
Kita akan perangi jenayah terutamanya gangsterisme dan gejala sosial terutamanya penyalahgunaan dadah. Kita akan pertingkatkan kerjasama dengan semua NGO untuk tangani gangsterisme dan pemulihan penagih dadah.
7. Keselamatan sempadan:
Mempertahankan sempadan negara daripada sebarang pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan orang. Kita akan tingkatkan kawalan di sempadan darat dan laut untuk tangani masalah tersebut.
8. Komuniti India tiada kewarganegaraan:
Kita akan akan selesaikan masalah komuniti India yang tiada status kewarganegaraan. Ini salah satu yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selaras dengan keadilan, kesamarataan dan keharmonian yang menjadi keutamaan kerajaan PH.
9. Isu pekerja asing:
Kita cari langkah kurangkan penggunaan pekerja asing dan langkah-langkah atasi masalah PATI. Saya pernah berpengalaman isu ini dan lihat ini isu besar yang ditimbulkan rakyat jelata di mana sahaja tentang kesan pekerja asing dan PATI.










