TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di kawasan bandar bermula 1 Julai depan bagi membendung kegiatan jenayah.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ketiga-tiga pasukan itu akan melaksanakan kerja-kerja rondaan cegah jenayah.
“Mereka akan ditempatkan di bandar-bandar besar berdasarkan kajian terhadap indeks jenayah di kawasan tersebut. Ini antara usaha PDRM untuk mengukuhkan kekuatan kita dalam menentukan jenayah di bandar-bandar utama dapat dibendung.
“Ia juga bertujuan untuk menampakkan kehadiran anggota polis di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja dan majlis berbuka puasa bersama PPM Wilayah Tiga dan PGA Briged Tenggara di Markas PPM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan. – Bernama










