KUALA LUMPUR 29 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan diminta meneruskan pemberian bonus Aidilfitri kepada peneroka Felda dan penjawat awam seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Menurut Unit Komunikasi Strategik UMNO, pihaknya memandang berat kenyataan bahawa kerajaan Pakatan Harapan masih belum mengesahkan lagi akan membayar ataupun menyatakan jumlah bonus hari raya untuk penjawat awam.
“Di bawah kerajaan BN sebelum ini, setiap individu dalam sektor perkhidmatan awam akan dibayar bonus hari raya sebanyak RM500 setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan kerja keras mereka.
“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengatakan bahawa ekonomi kita kukuh dan kuat tetapi pada hari berikutnya apabila ditanya mengenai pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam, beliau memberikan alasan bahawa ekonomi kita lemah dan akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya hanya untuk penjawat awam yang bergaji rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Unit Komunikasi Strategik UMNO menjelaskan, tidak membayar bonus akan menjadi tamparan berganda kepada pekerja sektor perkhidmatan awam kerana kerajaan Pakatan Harapan juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji mereka yang dirancang untuk tahun ini, memandangkan ini adalah janji BN dan bukan janji Pakatan Harapan.
Selain itu, Unit Komunikasi Strategik UMNO berharap kerajaan Pakatan Harapan tidak menggunakan hutang negara yang diuar-uarkan angkanya RM1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar bonus kepada para peneroka Felda. -UTUSAN ONLINE











