Tentukan siapa MB Perlis bukan keputusan sebelah pihak - Azlan Man - Utusan Malaysia

Tentukan siapa MB Perlis bukan keputusan sebelah pihak – Azlan Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 13 Mei – Keputusan menentukan siapa Menteri Besar adalah hak mutlak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, dalam soal tersebut, tidak boleh sama sekali ada keputusan sebelah pihak sebaliknya memerlukan perkenan Raja.

Dalam masa sama, Azlan juga tidak mengetahui dan tidak mendapat maklumat siapa individu yang menghantar cadangan senarai nama yang bakal menduduki kerusi nombor satu negeri itu kerana tidak pernah dibincangkan bersama beliau yang masih bergelar Menteri Besar.

“Saya tidak tahu siapa yang menghantar senarai cadangan nama itu, dan ke mana senarai nama itu dihantar. Tidak boleh ada keputusan sebelah pihak dalam menentukan soal Menteri Besar ini.

“Keputusan menentukan Menteri Besar adalah hak mutlak Raja yang telah diperuntukkan dalam undang-undang yang tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Kita tunggu dan lihat keputusan nanti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik beliau sebagai calon Menteri Besar.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, menyaksikan BN masih menguasai negeri ini dengan menang 10 daripada 15 kerusi DUN.

Manakala lima kerusi DUN seperti Kuala Perlis, Sena, Indera Kayangan, Guar Sanji dan Sanglang masing-masing dimenangi oleh PKR dan Pas sekali gus menyaksikan pencapaian paling buruk BN negeri ini yang diketahui umum sebagai kubu kuat parti tersebut.

Sementara itu, Azlan menerima apa jua keputusan Raja Perlis sama ada mengekalkan beliau ada sebaliknya sebagai Menteri Besar.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×