DAMSYIK 10 Mei – Israel mendakwa pasukan tentera Iran melancarkan serangan roket ke arah kedudukan tentera di kawasan yang didudukinya di Bukit Golan.
Menurut sumber, pasukan Pengawal Revolusi Iran melancarkan kira-kira 20 roket ke arah tentera Israel pada awal pagi ini dan ada di antaranya berjaya dipintas, tetapi tiada sebarang kecederaan atau kematian dlaporkan setakat ini.
Pada awal minggu ini, Israel berkata, pihaknya berjaya mengesan beberapa aktiviti ‘luar biasa’ dilakukan tentera Iran di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, Israel menempatkan pasukan tenteranya di kawasan berkenaan, selain menggesa penduduk awam mendapatkan perlindungan.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan bahawa pihaknya telah menyerang berpuluh-puluh pusat kemudahan Iran di Syria sebagai tindak balas.
Kemudahan yang diserang termasuk pusat penyimpanan senjata, pelancar peluru berpandu dan pusat perisikan milik tentera Iran.
Agensi berita SANA melaporkan, peluru berpandu tentera Israel berjaya ditembak jatuh di selatan wilayah Homs, tetapi depoh senjata dan pusat pemasangan satelit dilaporkan terkena bedilan itu.
Serangan terbaharu itu dipercayai berlaku selepas Israel melancarkan peluru berpandu ke arah pos ketenteraan di Damsyik, kelmarin.
SANA menyatakan kejadian itu menyaksikan dua peluru berpandu ditembak jatuh di kawasan Kiswah dan dua penduduk awam terbunuh dalam satu letupan.
Namun, Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan bahawa peluru berpandu berkenaan disasarkan ke depoh senjata tentera Iran dan menyebabkan 15 anggota tentera kerajaan Syria maut.
Selain itu, badan pemantau tersebut memberitahu lapan anggota tentera Iran dan beberapa individu bukan rakyat Syria turut maut dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, Israel tidak memberi sebarang komen tentang insiden tersebut, tetapi kerajaannya berikrar untuk menghentikan cubaan tentera Iran ‘bertapak’ di Syria. – AGENSI










