BUNYI brek bas RapidKL yang berhenti di tepi Jalan Pasar, Pudu, Kuala Lumpur untuk menurunkan penumpang mengejutkan Che Wan Sansiah Che Wan Sarit, 40, daripada lamunannya.
Dia lantas menggapai bakul merah yang diletakkan di tempat duduk sebelah sebelum bergegas turun daripada bas tersebut.
Bakul itu sentiasa dibawa bersama setiap kali berkunjung ke pasar tersebut.
Perjalanan dari rumahnya di Ampang, Kuala Lumpur ke Pasar Pudu pada pagi itu mengambil masa kira-kira 20 minit.
Pengusaha restoran itu menjadikan rutin berkunjung ke Pasar Pudu untuk mendapatkan bahan-bahan mentah yang akan dimasak di restorannya.
Lazimnya, dia pergi bersama suami menaiki kenderaan sendiri jika mahu membeli barang-barang dalam kuantiti yang banyak.
Namun, pada hari itu, dia hanya mahu membeli sayur-sayuran seperti sawi, kangkung, kubis, pucuk paku, kacang merah Cameron Highlands, ikan dan ayam.
Dia keberatan untuk memandu sendiri kerana mahu merasai pengalaman menaiki bas RapidKL.
“Biasanya saya sampai pukul 7 pagi dengan menaiki van untuk mendapatkan barang-barang mentah dan akan mengambil masa hampir dua jam di pasar ini.
“Biarpun keadaan pasar ini agak sesak, ia tetap menjadi pilihan kerana saya boleh mendapatkan barang-barang keperluan harian,” katanya yang sudah hampir sedekad mendapatkan bekalan bahan mentah di Pasar Pudu.
Menurut Che Wan Sansiah, dia akan pergi ke Pasar Pudu tiga kali seminggu dan berbelanja sekurang-kurangnya RM300 pada setiap kunjungan.
Tambah Che Wan Sansiah, Pasar Pudu turut menjadi pilihan ahli keluarganya untuk membeli-belah dan mendapatkan barangan bagi menyambut kehadiran bulan Ramadan dan Aidilfitri.
Stok
Peniaga yang menjadi pilihan Che Wan Sansiah ialah Raabayah Omar, 66, kerana kesegaran dan kualiti sayur-sayuran yang dijualnya.
Raabayah yang telah berniaga hampir tiga dekad di pasar itu mengakui, Che Wan Sansiah merupakan salah seorang pelanggan tetapnya.
“Dia merupakan pelanggan terawal yang datang ke gerai saya. Nampak sahaja kelibat dia, saya sudah tahu jenis sayur-sayuran yang diperlukan.
“Walaupun ramai yang berniaga sayur di sini, persaingan tidak menjadi masalah kerana masing-masing mempunyai pelanggan tetap,” jelas ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu.
Menurut Raabayah, dia memulakan perniagaan seawal pukul 6 pagi dengan menyusun sayur-sayuran di atas meja papan di gerai itu.
Pelanggan biasanya akan mula memenuhi pasar tersebut kira-kira setengah jam selepas itu.
Bagi mendapatkan stok barangan basah yang segar dan berkualiti, jelas Raabayah, dia dan anaknya perlu ke pasar borong Selangor seawal pukul 4.30 pagi.
Imbau Raabayah, hanya terdapat 30 buah gerai yang beroperasi pada awal pembukaan Pasar Pudu.
Pada pendapatnya, Pasar Pudu sangat istimewa kerana kepelbagaian barangan basah yang boleh didapati di lokasi itu. Antaranya ubi kentang kecil Indonesia, akar warih herba kaum Cina dan petai Thailand.
“Pasar Pudu mula mencapai kemuncak popularitinya sekitar tahun 1975 selepas semakin banyak ruang perniagaan dibuka.
“Pada masa itu, pelanggan datang daripada pelbagai tempat seperti Gombak, Shah Alam dan Kajang di Selangor. Ada juga yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan untuk membeli secara pukal,” kata Raabayah yang mampu meraih pendapatan sekitar RM250 hingga RM300 sehari pada masa itu berbanding RM150 pada hari ini.
Murah
Pada waktu itu, peniaga-peniaga utama di pasar tersebut terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India tetapi kini ia turut dipenuhi peniaga warga asing terutamanya dari Bangladesh dan Indonesia.
Bagaimanapun, kewujudan pasar kering sejak 15 tahun lalu berjaya menarik lebih ramai pelanggan ke Pasar Pudu.
Situasi itu diakui oleh salah seorang peniaga pasar kering, Jasniyati Jalaluddin yang telah berniaga hampir 12 tahun di lokasi tersebut.
Jasniyati, 58, yang tinggal di Chow Kit, Kuala Lumpur memberitahu, dahulu dia hanya menyusun beberapa keping papan di atas tanah parkir motosikal untuk meletakkan barang-barang niaganya seperti jam, topi, beg, tudung dan tali pinggan.
Namun, apabila hari hujan, dia menjadi kelam-kabut untuk menyimpan barang-barang di dalam beg berzip tiga tingkat dan berlari-lari anak menumpang teduh di deretan rumah kedai berdekatan.
Pada masa itu, jumlah pelanggan tidak begitu ramai kerana kebanyakannya tidak yakin sama ada barang yang dijual berkualiti atau sebaliknya.
Justeru, sebagai strategi, dia terpaksa menjual barang-barang pada harga murah.
“Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan demi mencari rezeki untuk anak-anak dan keluarga,” jelas ibu kepada lima orang cahaya mata itu.
Walaupun zaman sudah berubah dengan pelbagai landskap perniagaan yang wujud seperti berniaga secara online dan kewujudan pasar raya, dia tetap setia membanting tulang empat keratnya hampir setiap hari.
“Dalam tempoh setahun, saya cuti berniaga kurang daripada 10 hari. Itu pun kerana saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital,” jelasnya.
Antara cabaran yang terpaksa dihadapi Jasniyati pada masa itu ialah risiko barang-barangnya dirampas oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana dia berniaga tanpa lesen.
Pendapat Jasniyati turut disokong oleh Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Muhibah, Jalan Pasar Pudu, Mohd. Ramlee Itam Ja’afar.
Pada masa itu, ramai peniaga berdepan dengan kekangan daripada segi kewangan kerana baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Setelah penat bergelut dengan pihak DBKL, dia mengambil inisiatif menubuhkan satu persatuan untuk para peniaga bumiputera di pasar itu sejak 15 tahun dulu.
“Alhamdulillah, kini kami berniaga dengan aman dan pihak DBKL memberi kebenaran berniaga dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Kini, seramai 91 peniaga pasar kering di bawah persatuannya berniaga pelbagai jenis barang.
Mohd. Ramlee berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mendapatkan lesen perniagaan tetap untuk semua peniaga di pasar tersebut.
Menyentuh tentang pembangunan awal Pasar Pudu, ia bermula di Jalan Pasar, Kuala Lumpur sebelum membentuk satu kawasan perniagaan yang luas dan dibanjiri ramai pengunjung.
Pasar Pudu yang menjual barangan basah di bahagian belakang merupakan antara pasar tertua kerana wujud sejak zaman pramerdeka iaitu sekitar tahun 1956.
Selain terkenal dengan kepelbagaian barang basah, Pasar Pudu juga menjadi tumpuan kerana ia dikelilingi deretan-deretan kedai yang menjual barangan elektronik serta elektrik.
Seorang pengunjung, Nur Izat Izuddin Abdullah, 29, berkata, dia tertarik untuk datang ke lokasi itu kerana terdapat pelbagai barang-barang elektrik yang sukar didapati di tempat lain.
“Saya gemar ke sini untuk mencari kelengkapan rumah seperti mesin basuh, peti ais, dapur dan kipas dengan harga yang agak murah,” ujar pemandu lori itu.










