Subahan sedia lepas jawatan - Utusan Malaysia

Subahan sedia lepas jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mei – Persatuan Bola Sepak Se­langor (FAS) bakal mendapat presiden baharu selepas Datuk Seri Subahan Kamal menyatakan hasrat bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut.

Jelas beliau, cadangan melantik Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebenarnya bukan perkara baharu kerana sebelum ini sering disebut sebagai calon terbaik untuk memegang jawatan tersebut.

Subahan yang juga merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) me­negaskan beliau mahu fokus kepada dua jawatan itu selepas ini.

“Saya bersedia memberi kerjasama yang baik bagi peralihan kuasa dalam FAS dan cadangan melantik Tengku Amir sebagai presiden bukan satu perkara baharu.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco FAS Khamis ini dan saya akan jelaskan segalanya di mana saya telah memanggil kesemua ahli exco untuk hadir pada mesyuarat khas mengenai masa depan Selangor dalam kancah bola sepak Malaysia.

“Pemilihan saya sebagai presiden me­nerusi ahli-ahli gabungan FAS pada 2017. Dalam tempoh dua tahun pasukan Selangor mengharu­ngi Liga Malaysia tanpa sebarang bantuan dana dari kerajaan ne­geri dan ia hasil kerja keras daripada ahli-ahli exco, itu sesuatu yang membanggakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Subahan yang merupakan anak jati Selangor menegaskan bahawa beliau bersedia membantu pengurusan baharu untuk terus memajukan bola sepak Selangor dan berjanji akan melunaskan gaji dan bonus pemain.

Tambahnya lagi, ketika ini beliau sedang mengadakan perbi­ncangan dengan sebuah kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyatakan minat untuk bekerjasama dengan FAS.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan sebuah kelab gergasi Inggeris yang nampak begitu minat untuk bekerjasama dengan pasukan Selangor. Nama kelab itu tidak boleh didedahkan lagi buat masa ini.

“Walaupun akan ada peralihan kuasa nanti saya akan teruskan perbincangan ini dengan mene­mukan presiden baharu dengan kelab tersebut supaya ianya akan membawa manfaat kepada bola sepak Selangor pada masa akan datang,” jelasnya.

Selangor kini menduduki tangga kesembilan dengan kelebihan 11 mata dan dipisahkan tiga mata dengan Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing berkongsi lapan mata serta berada di zon penyingkiran liga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN