KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam membuat serbuan di Menara Tabung Haji (TH) di Jalan Tun Razak di sini dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (gambar kecil).
![]() |
|
ABDUL AZEEZ
|
Kosmo! difahamkan, sekumpulan pegawai penyiasat SPRM telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak atasan TH bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, kehadiran pegawai SPRM gagal dihidu pihak media yang sudah mula berkampung di pintu masuk dan keluar di Menara TH sejak pukul 8 pagi hingga 5 petang semalam.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan terdapat pegawainya yang tampil di menara berkenaan.
Kosmo! semalam melaporkan, SPRM menyerbu rumah Abdul Azeez di Taman Bemban, Kupang, Kedah dan di Subang Jaya termasuk di Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Baling di Batu 42, Baling.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah disahkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi TH kelmarin dan mengaku bahawa SPRM telah mengambil wang tunai mencecah RM1.1 juta dan sejumlah barang kemas.












