SEBATIK 15 Mei – Sebuah blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay, di sini musnah dalam satu kebakaran pada pukul 12.09 tengah hari tadi.
Blok bangunan yang musnah itu menempatkan pejabat pentadbiran dan bilik guru sekolah berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, Pusat Gerakan Operasi Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.09 tengah hari dan terus bergegas ke lokasi kejadian dengan seramai lapan orang anggota.
“Semua anggota penyelamat ke lokasi kejadian dengan menggunakan bot polis marin bersama perkakas pemadaman yang dibawa.
“Operasi memadam kebakaran tamat pukul 4.48 petang dan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementar itu, difahamkan, ketika kejadian pelajar di sekolah itu sedang menduduki peperiksaan semester pertama.
Sekolah berkenaan mempunyai sebanyak 289 murid, 26 guru serta lima kakitangan bukan mengajar.
Kampung Wallace Bay di Pulau Sebatik yang bersempadan antara Malaysia dan Indonesia tidak mempunyai kemudahan balai bomba, manakala perjalanan dari tanah besar di Tawau ke pulau itu mengambil masa kira-kira 20 minit menggunakan bot laju. – UTUSAN ONLINE










