PETALING JAYA: Keputusan Tabung Haji (TH) mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang bagi musim 1448H/2027M buat tahun keempat berturut-turut, memberi kelegaan kepada rakyat.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md Daud Che Ngah berkata, pengumuman berkenaan disambut dengan rasa syukur kerana ia berlaku di tengah tekanan kos hidup dan inflasi yang dihadapi rakyat pada masa ini.
“Saya memberi penghargaan yang tinggi kerana keadaan yang sebelum ini tidak stabil kini dapat dikekalkan dalam kadar yang sama,” katanya.
Utusan Malaysia melaporkan bayaran haji kekal empat tahun berturut-turut pada RM33,300 seorang bagi musim 1448H/2027M, meskipun berdepan tekanan inflasi dan kenaikan kos perkhidmatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, keputusan mengekalkan kos haji Muassasah itu dibuat bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama, di samping meringankan beban bakal jemaah.
Sementara itu, beliau berkata, kelegaan ini amat dirasai memandangkan kenaikan kos sebelum ini bukanlah sesuatu yang kekal. Sebaliknya, ia sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Ia menjadikan pengekalan kos amat dialu-alukan.
Katanya, konsep subsidi kos haji perlu dilihat menurut kerangka sebenar syariat Islam, bukan sekadar mengikut andaian umum masyarakat.
Dalam pada itu, Md Daud berkata, konsep subsidi sebenarnya tidak wujud dalam pengurusan haji menurut ajaran Islam kerana setiap bakal jemaah dikehendaki menyimpan dan membiayai sendiri kos untuk menunaikan ibadah tersebut.
“Sepatutnya kos haji dan memastikan kita sihat tubuh badan semua diatas tanggungjawab sendiri. Negara kita yang mewujudkan konsep bantuan atau subsidi ini.
“Syarat istita’ah atau kemampuan dalam Islam merangkumi beberapa aspek penting termasuk kemampuan kewangan, kesihatan yang baik, kenderaan atau pengangkutan untuk pergi dan pulang, serta keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya. – UTUSAN










