KUALA LUMPUR 13 Mei – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, menzahirkan rasa bangga dengan pelantikan Datin Seri Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
Berkata kepada Utusan Online, Siti melihat pencapaian ahli politik wanita itu adalah satu kejayaan besar buat kaum Hawa yang diberi kepercayaan tertinggi untuk kepemimpinan sesebuah negara.
“Wan Azizah telah berjaya merubah landskap politik Malaysia dan senario ini mendapat perhatian seluruh dunia.
“Malah tidak keterlaluan untuk saya katakan beliau telah menyuntik semangat kepada golongan wanita dan wajar dijadikan sumber inspirasi,” katanya.
Justeru, Siti meletak harapan agar Wan Azizah memanfaatkan mandat yang diberikan oleh rakyat dengan memperjuangkan hak wanita sebaik-baiknya.
“Suaranya di peringkat tertinggi kepimpinan negara harus digunakan sewajarnya, sekali gus mengurangkan jurang dominasi kaum lelaki,” katanya menyuarakan pandangan.
Siti berkata demikian usai majlis perasmian butik kelapan jenama Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










