PIALA Dunia 1982 merupakan edisi ke-12 yang diselenggarakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Menurut hasil kongres badan induk tersebut yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada 8 Oktober 1964, Sepanyol dipilih selaku tuan rumah bagi edisi tersebut. Presiden FIFA, Joao Havelange telah banyak melaksanakan kejayaan dalam menentukan format dan peraturan perlawanan bagi Piala Dunia yang dianjurkan FIFA sejak 1930.
Bagaimanapun, pada Piala Dunia 1982, dia dengan berani memutuskan jumlah pasukan yang berhak tampil di kejohanan berprestij tersebut daripada 16 kepada 24.
Secara tidak langsung, idea itu sebenarnya muncul dari pemikiran Stanley Rou, Presiden FIFA sebelum Havelange. Pada April 1970, Rous pernah menyuarakan ideanya bahawa Piala Dunia perlu disertai 24 buah negara.
Ini kerana, komposisi itu diatur sedemikian rupa agar setiap benua berupaya menghantar wakil masing-masing. Di era Havelange, impian Rous itu akhirnya direalisasikan setelah 12 tahun berlalu.
Dalam kelayakan menuju Sepanyol 82 itu, sebanyak 105 negara dari 6 konfederasi mengambil bahagian. Hasilnya, 22 pasukan menemani Sepanyol selaku tuan rumah dan Argentina sebagai juara bertahan menuju ke saingan berprestij tersebut.
Ketiadaan paling mengejutkan adalah naib johan edisi terdahulu di Argentina 1978, Belanda dan salah satu pasukan kuat dari Amerika Utara, Mexico yang gagal melayakkan diri ke kempen Piala Dunia 1982.
Belanda kecewa setelah kalah ketika berdepan Belgium dan Perancis, manakala Mexico tewas kepada El Savador di peringkat kelayakan.
Sementara England, Czechoslovakia, Belgium dan Kesatuan Soviet kembali ke pentas Piala Dunia setelah gagal menempatkan diri ke kejohanan tersebut selama tiga pertandingan atau 12 tahun.
Yugoslavia juga kembali selepas gagal ke pertandingan 1978, manakala Algeria, Cameroon, Honduras, Kuwait, New Zealand membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia 1982.










