PERGERAKAN pasaran saham tempatan selepas pasaran dibuka berikutan dua hari cuti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), telah mengalami satu aliran menurun yang menyaksikan beberapa saham syarikat tersenarai mengalami penurunan secara limit down.
Penurunan limit down ini merupakan satu penurunan sebanyak 30 peratus daripada harga penutup pasaran semalam atau penutup sesi pertama. Penurunan secara limit down ini terjadi beberapa kali ke atas beberapa saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sehingga Isnin.
Ringgit turut melemah pada urus niaga pesisir pantai pada kadar RM4.0461 berbanding Dolar Amerika iaitu menyusut 1.7 peratus sejurus parti Pakatan Harapan diisytiharkan memenangi PRU-14.
Selain daripada penurunan limit down ini, aktiviti jualan singkat intra hari yang baru diluluskan pelaksanaannya oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut berlaku. Justeru, terdapat beberapa saham syarikat tersenarai yang harga sahamnya menyusut sehingga mencecah lebih daripada 50 peratus sejak urus niaga Bursa Malaysia dibuka setelah PRU-14 selesai.
Walaupun indeks FTSE Bursa Malaysia atau FBM KLCI adakalanya ditutup positif, ia masih tidak dapat merangsang pembelian pada kaunter-kaunter yang rugi disebabkan sentimen peralihan kuasa daripada pemerintahan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan.
Kejatuhan harga juga bukan sahaja berlaku ke atas saham-saham berkaitan kerajaan malah ia juga memberi tekanan ke atas saham-saham wajaran tinggi yang mana syarikat-syarikat tersebut merupakan syarikat yang mempunyai asas yang kukuh serta merupakan saham-saham berkaitan indeks.
Penghapusan GST atau sifar GST yang merupakan langkah pertama di antara 60 langkah atau janji Pakatan Harapan untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari pertama membentuk kerajaan Persekutuan turut memberi impak ke atas beberapa saham syarikat tersenarai.
Langkah untuk memansuhkan kutipan tol yang merupakan satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan juga turut mengakibatkan saham syarikat pengendali konsesi kutipan tol turut terjejas teruk.
Justeru, tidak dapat disangkal lagi bahawa manifesto Pakatan Harapan memberi kesan ke atas harga saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia kerana terdapatnya penggubalan atau perubahan pada polisi sedia ada semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.
Suasana pasaran saham yang terkesan dengan peralihan kuasa ini memberi impak yang sangat besar ke atas pasaran saham negara. Di samping itu ramai pelabur dan pedagang saham yang baharu pertama kali masuk pasaran mengalami kerugian kerana tidak menyangka peralihan kuasa yang terjadi buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia telah mengakibatkan banyak saham yang berkaitan kerajaan jatuh dengan banyak.
Walaupun saham-saham yang mengalami penurunan yang banyak sehingga mencecah lebih daripada 50 peratus kejatuhan sejak urus niaga Bursa Malaysia dibuka pada Isnin selepas cuti dua hari, ia masih gagal mengekalkan aliran menaik setelah mengalami pantulan teknikal yang lemah.
Justeru, tidak dinafikan jualan singkat intra hari yang baru dilaksanakan oleh Bursa Malaysia merupakan satu daripada faktor yang perlu diambil kira oleh pelabur dan pedagang baharu untuk meramal sentimen pasaran atau mengambil langkah berhati-hati dalam membuat pembelian ke atas saham-saham yang jatuh ini.
Keadaan pasaran yang masih dalam fasa ketidaktentuan ini perlu diberi perhatian oleh pedagang dan pelabur baharu. Dengan 100 hari manifesto Pakatan Harapan bakal mencorakkan pergerakan harga saham-saham syarikat tersenarai dalam masa terdekat ini.
Seharusnya pelabur dan pedagang saham menjadikan perubahan dalam iklim pasaran ini sebagai satu perkara baharu yang perlu diingati untuk menjadikannya sebagai panduan di dalam pelaburan saham.
Perlu diingatkan juga bahawa pelabur dan pedagang saham perlu mengikuti perkembangan semasa suasana perbicaraan atau apa-apa pertuduhan atau penyiasatan yang bakal dikenakan ke atas orang kenamaan.
Ini kerana saham-saham syarikat tersenarai yang berkaitan dengan individu-individu yang akan disoal siasat turut terkesan. Dan inilah yang berlaku baru-baru ini walaupun pendakwaan atau penyiasatan belum lagi dijalankan ke atas individu tersebut.
Buat masa ini, pelabur dan pedagang saham juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hari dalam melakukan urus niaga saham dan menyemak kembali portfolio pelaburan kerana ditakuti terdapat saham-saham syarikat yang bakal terjejas dengan perubahan dasar dan polisi kerajaan baharu.
Kepada yang ingin pembelajaran secara personal coaching boleh e-mel [email protected]











