ISKANDAR PUTERI 14 Mei – Kerajaan negeri yang baharu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan senarai 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) menggunakan ‘formula’ 3,3,2,2.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, senarai 10 Exco tersebut dimuktamadkan malam tadi dan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Menurutnya, pengagihan kerusi Exco itu mendapat persetujuan kesemua parti di bawah PH, namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pembahagian mengikut parti.
“Alhamdulillah semuanya sudah selesai (pembahagian Exco) mengikut persetujuan semua parti dalam PH dan saya akan menghadap Sultan Johor untuk mendapat perkenan baginda.
“Sekiranya semua berjalan lancar, majlis angkat sumpah Exco akan diadakan di Istana Besar esok,”katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Osman yang memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar tiba di pejabatnya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar.
Beliau yang mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu di Istana Bukit Serene, tiba di bangunan pentadbiran kerajaan negeri pada pukul 9.05 pagi.
Ketibaan Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas merangkap Setiausaha PH negeri disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahim Nin.
Ditanya sama ada kerajaan negeri yang baharu akan mengekal portfolio Exco sedia ada, Osman berkata, terdapat perubahan dan akan diketahui sebaik majlis angkat sumpah diadakan nanti.
Katanya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam kalangan orang Melayu manakala timbalannya boleh sesiapa sahaja.
“Speaker must be Malay, definitely. Siapa? Kita tak tahu lagi, mungkin ada perubahan. Timbalan speaker can be anybody,” katanya.










