PROSES penambahan anggota komando bagi Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa dijalankan setiap tahun mengikut keperluan.
Walaupun negara dalam keadaan aman, jumlah keanggotaan perlu dikekalkan sebagai persediaan menghadapi ancaman keselamatan negara yang boleh datang pada bila-bila masa.
Terbaru Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Gerup Gerak Khas (GGK) turut menerima anggota baharu selepas berlangsungnya kursus asas komando dalam pengambilan berasingan mengikut unit masing-masing.
Bagi Paskau, seramai 33 penuntut kursus Siri 25/18 yang terdiri daripada seorang pegawai dan 32 anggota lain-lain pangkat (LLP) berjaya menamatkan kursus ini, sekali gus melayakkan pelatih memakai beret biru muda sebagai lambang entiti mereka.
Kursus ini bermula pada 12 Februari pada awalnya disertai seramai 60 orang penuntut. Namun bilangan tersebut semakin mengecil selepas pelatih perlu mengharungi latihan fizikal dan mental untuk menjadi komando yang mantap.
Modul dihadapi semua pelatih ini juga hampir sama seperti modul terdahulu yang diguna pakai oleh Paskau, GGK dan Pasukan Khas Laut (Paskal). Mungkin ada sedikit penambahan dalam modul lain mengikut keperluan pasukan masing-masing.
Antara taktik, teknik dan kemahiran yang dipelajari dan diikuti antaranya latihan peringkat kem; jalan lasak sejauh 160 kilometer (km); modul latihan hutan; modul Survival, Escape, Resistance, Evasion (SERE); serta latihan perairan dan ‘Dark Water’ (mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120km).
Untuk memastikan latihan ini selari dengan penugasan dan peranan Paskau dalam melaksanakan operasi khas, penuntut turut dilatih dengan kemahiran penyusupan melalui darat, laut dan udara, taktik khas peperangan hutan, sabotaj serta menyelamat tebusan.
Upacara penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abd. Mutalib Ab Wahab di Batu Hampar, Bukit Jugra, Banting, Selangor.
Dalam pada itu, Abd. Mutalib turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada veteran TUDM yang juga merupakan salah seorang anggota Paskau (dahulu dikenali sebagai Handau) Flait Sarjan (B) Zaidi bin Salleh 52 di atas sikap keberanian menyelamatkan mangsa yang mahu membunuh diri sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, GGK juga turut menerima anggota baharu iaitu seramai empat pegawai dan 59 anggota LLP.
Semua daripada mereka dianugerahkan beret hijau yang menjadi kemegahan pasukan elit Tentera Darat itu dalam satu majlis penutup Siri AK 1/2018 baru-baru ini.
Majlis disempurnakan oleh Komander Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF), Brigedier Jeneral Mazlan Md Sahalan di Pantai Betutu Laut, Sg Udang, Melaka.
Sama seperti kursus asas Paskau dan Paskal, GGK juga mahu melahirkan anggota komando yang benar-benar mantap untuk melaksanakan sebarang misi seperti penyusupan udara, sabotaj atau misi antipengganas.
Kursus ini berlangsung selama tiga bulan dan dipecahkan kepada lima peringkat merangkumi peringkat kem, hutan, paya, laut dan penutup.










