KOTA TINGGI 15 Mei – Syarikat minyak Arab Saudi, Saudi Aramco mengumumkan untuk melabur sebanyak RM27.67 bilion dalam projek Pembangunan Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), satu komponen Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di sini sebentar tadi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser berkata, langkah tersebut adalah selaras dengan strategi syarikat dan Petronas untuk melabur dalam penapisan minyak global.
“Aramco juga komited untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi di kawasan Pengerang. Ekoran itu, kita mensasarkan untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan Petronas pada masa akan datang.
“Malaysia menyediakan peluang baik kepada Aramco untuk mengembangkan portfolio industri hiliran di Asia dan PRefChem yang terletak di lokasi strategik di sini bakal menjadikan Pengerang sebagai hub tenaga yang prolifik di rantau ini,” katanya dalam majlis pelancaran logo identiti PRefChem, usahasama strategik Petronas dan Aramco.
Yang turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md. Ariff Mahmood.-UTUSAN ONLINE










