Rusia damba kejayaan Perancis 1998 - Utusan Malaysia

Rusia damba kejayaan Perancis 1998

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA apa yang lebih membanggakan buat pasukan tuan rumah kejohanan Piala Dunia melainkan menjulang trofi paling berprestij dunia itu di depan jutaan peminat-peminat sendiri.

Itulah impian utama Rusia yang tampil selaku tuan rumah kejohanan kali ini dalam misi melakarkan kejutan selepas diundi bersama Mesir, Arab Saudi dan Uruguay di dalam Kumpulan A.

Atas kertas, Uruguay dilihat sebagai pasukan pilihan untuk melepasi peringkat kumpulan memandangkan mereka dibarisi ramai pemain berkelas dunia antaranya bintang Barcelona, Luis Suarez dan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani.

Bagaimanapun, Rusia tidak gentar dengan status bintang milik Uruguay sebaliknya The National Team telah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dalam misi mengharumkan nama negara.

Pada 2010, ketika Rusia telah dipilih untuk menjadi kejohanan Piala Dunia 2018, pasukan itu dilihat memiliki persiapan cukup rapi.

Ketika mengharungi Euro 2008, Rusia berjaya layak ke pusingan suku akhir buat pertama kali sebelum melakarkan kejutan dengan layak ke separuh akhir sebelum tewas 0-3 kepada Sepanyol.

Ketika itu, Guus Hiddink yang membawa pasukan Rusia di kempen Euro 2008 mengakui bahawa Rusia memiliki keupayaan seperti pasukan gergasi Eropah yang lain.

“Pasukan ini telah memiliki kebolehan untuk bersaing dengan England, Jerman, Sepa­nyol atau mana-mana pasukan sahaja.

“Saya percaya kekuatan Rusia akan bertambah dan menjadi lebih positif yang mana pasukan ini telah mula menunjukkan kematangan tersendiri dan saya turut optimis kami akan dapat melakukan sesuatu pada Piala Dunia akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Rusia tidak berjaya layak ke Piala Dunia 2010 Afrika Selatan sebelum membuat penampilan semula di kejohanan berprestij dunia itu di Brazil pada 2014.

Kini, kejayaan layak ke separuh akhir Euro 2008 bakal dijadikan motivasi terbaik buat Rusia dalam misi menghadapi Piala Dunia 2018 sebagai pasukan tuan rumah kejohanan.

Rusia kini menyasarkan misi melepasi peringkat Kumpulan A bersama calon pilihan, Uruguay tetapi dalam masa yang sama mereka tidak memandang rendah terhadap kemampuan Arab Saudi dan Mesir yang dianggap mampu menjadi pasukan pengacau.

Dalam perkembangan sama, kapten Rusia, Igor Akinfeev mengakui pasukannya telah bersedia meniru kejayaan Perancis yang menjadi pasukan terakhir tuan rumah kejohanan menjulang Piala Dunia pada tahun 1998.

“Jika Perancis boleh berbuat demikian, Rusia harus memiliki keyakinan yang sama. Namun, kami sedar ia bukan satu tugas yang mudah dan saya berharap bermain di tempat sendiri akan memberikan kelebihan buat kami.

“Menjadi pasukan tuan rumah boleh menjadi satu kelebihan tetapi dalam masa yang sama ia juga memberikan tekanan kepada kami untuk bermain dengan lebih sempurna dalam setiap perlawanan.

“Saya berharap kami dapat menyerap tekanan itu dengan baik serta mengharapkan keajaiban memihak kepada Rusia dalam Piala Dunia 2018 kali ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN