Ringgit menyusut, pasaran terjejas - Utusan Malaysia

Ringgit menyusut, pasaran terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Mei – Ringgit dalam pasaran luar pesisir menyusut 1.7 peratus kepada RM4.0461 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal pagi sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berdasarkan data Bloomberg, dolar Singapura juga menyusut berbanding ringgit, menurun 0.4 peratus kepada RM2.935, mencecah paras terendah dalam tempoh dua tahun.

Pasaran bursa dan mata wang di Malaysia ditutup dua hari sempena kemenangan PH.

Menurut RHB Research Institute, pasaran saham akan me­nyaksikan jualan secara pantas apabila pasaran dibuka semula memandangkan risiko premium negara yang lebih tinggi.

Firma penyelidikan itu menjangkakan jualan dalam pasaran ekuiti, dengan sokongan teknikal pada 1,600 mata (menurun 13 pera­tus) dan reaksi pasaran selepas itu bergantung kepada keupayaan kerajaan baharu untuk menenangkan keadaan pasaran dan agensi penarafan serta memberi penjelasan mengenai keutamaan ekonominya.

“Kami percaya pelabur dan dana portfolio asing pastinya memilih untuk keluar dahulu dan ia secara tidak langsung memberi tekanan jualan kepada ringgit. Dalam pada itu, agensi penarafan antarabangsa juga perlu diyakinkan bahawa kerajaan PH mempunyai strategi ekonomi yang berdaya maju dan bersesuaian.

“Sektor pembinaan mungkin paling terjejas sekiranya projek-projek besar dinilai semula, sementara beberapa perniagaan mungkin menangguhkan pelaburan mereka sehingga mendapat hala tuju yang jelas. Pengeksport pula akan meraih manfaat daripada kelemahan ringgit,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Jelasnya, dengan beberapa langkah oleh PH termasuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan me­lebarkan defisit fiskal dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur lebih rendah pada 4.6 peratus dengan bajet fiskal terus memberi kesan kepada KDNK melainkan adanya jaminan yang jelas diberikan kepada pelabur.

Dalam pada itu, penganalisis ForexTime Limited (FXTM), Lukman Otunuga berkata, pelabur antarabangsa pastinya terkejut dengan keputusan pilihan raya dan adalah menarik untuk memerhati reaksi agensi penarafan dan pelabur antarabangsa terhadap perkembangan di Malaysia.

“Ringgit akan menjadi ancaman kepada ketidakpastian politik domestik dan pasaran dalam negeri akan mendapati ia terdedah kepada kerugian apabila pasaran dibuka semula yang dijangka bermula awal minggu depan,” katanya.

Menurut Ketua Penyelidikan pasaran Global ASEAN di Bank MUFG, Sook Mei Leong, mata wang tempatan akan berdepan kelemahan dalam tempoh jangka masa pendek dan dijangka menyusut kepada RM4.20 dalam tempoh tiga bulan berbanding ditutup pada RM3.95 Selasa lalu.

Dalam pada itu, Moody’s Investors Service (Moody’s) melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan penarafan kredit negara berikutan beberapa manifesto yang dijanjikan oleh PH terutamanya dalam menghapuskan GST.

Menurut agensi penarafan tersebut, tanpa cukai tersebut dan langkah-langkah pengimbangan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kebergantungan Malaysia kepada hasil berkaitan minyak dan dalam tempoh terdekat sekurang-kurangnya, mengecilkan asas pendapatan kerajaan.

“Terdapat beberapa janji mereka jika tanpa sebarang pelarasan, akan memberi kredit negatif kepada kedaulatan negara.

“Ada juga dasar-dasar penuh ekonomi PH tidak begitu diketahui manakala manifesto pilihan rayanya tidak begitu terperinci bagi memberi penilaian menyeluruh tentang kesan belanjawan dan makro ekonomi.

“Antaranya, memperkenalkan semula subsidi minyak, juga akan mengakibatkan gangguan kepada mekanisme harga pasaran yang ditentukan, dengan kesan ke atas kedudukan fiskal dan imbangan pembayaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×