Rewcastle Brown masih dilarang - Utusan Malaysia

Rewcastle Brown masih dilarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 23 Mei – Pengasas dan edi­tor Sara­wak Report, Clare Rewcastle Brown masih disenarai hitam dan dilarang memasuki negeri ini.

ABANG JOHARI TUN OPENG
ABANG JOHARI TUN OPENG

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau setakat ini belum membuat keputusan untuk mengeluar­kan na­ma wanita itu daripada senarai hitam individu dilarang memasuki Sarawak meskipun Kerajaan Pakatan Harapan sudah membatalkan waran tangkap terhadapnya pada Khamis lalu.

“Beliau masih dalam senarai hitam (individu dilarang memasuki Sarawak) sejak pentadbiran Ketua Menteri terdahulu (Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namanya masih dalam senarai berkenaan dan saya belum membuat keputusan untuk mengeluarkan namanya daripada senarai tersebut,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Maj­lis Penyerahan Sumbangsih Kuih Raya 2018 oleh Jabatan Wanita dan Keluarga (JWKS) dan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati) di Dewan Undangan Negeri Lama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada larangan ke atas Brown untuk memasuki negeri ini masih berkuatkuasa atau sebaliknya berikutan kepulangannya ke tanah air.

Brown dilarang memasuki Sarawak sejak 3 Julai 2013 kerana banyak mengkritik pentadbiran kerajaan negeri yang ketika itu di bawah Abdul Taib yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri.

Wanita kelahiran Sarawak yang dikatakan membongkar isu penyelewengan dana 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) itu pulang ke Malaysia selepas dimaklumkan laman berita miliknya tidak lagi disekat kerajaan selain waran tangkap ke atasnya dibatalkan pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Abang Johari memberi jaminan bahawa semua bantuan kebajikan yang diberikan kepada rakyat kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah akan diteruskan di negeri ini.

“Insya-Allah, kita akan terus memberi peruntukan untuk kerja-kerja kebajikan di negeri ini seperti bantuan bulanan meskipun jika ia dihentikan kerajaan Pusat.

“Mereka kurang berkemam­puan dan berpendapatan rendah perlu dibantu termasuk terbaru kerajaan negeri telah menurun­kan 50 peratus premium tanah iaitu daripada RM5,000 kepada RM2,500,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari me­nyerahkan sumbangan 8,000 bungkusan kuih raya sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan besar warga agensi keselamatan dan pe­nguat kuasa di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN