KLANG 23 Mei – Mahkamah Majistret membenarkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman tiga hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan meminta rasuah RM10,000.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi kira-kira pukul 10.15 pagi.
Pegawai polis berusia 33 tahun itu dibenarkan direman bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 sebelum dihantar ke lokap tahanan SPRM di Putrajaya dekat sini.
Menurut sumber SPRM, pegawai polis itu ditahan berikutan laporan dibuat seorang lelaki berumur 44 tahun yang mendakwa Inspektor terbabit meminta wang sebagai balasan mengurangkan jumlah pertuduhan ke atas anaknya lelaki berumur 19 tahun yang ditangkap kerana memiliki barang curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Lelaki itu mendakwa pegawai polis berkenaan meminta wang balasan terbabit daripadanya pada 16 Mei lepas sebelum dia membuat laporan kepada SPRM Cawangan Klang semalam. – UTUSAN ONLINE.











