ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau di sini hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin ternyata kecewa kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri itu berada di Perlis ketika surat jemputan dihantar kepada mereka dua hari yang lalu.
“Ini adalah kepentingan sesetengah puak dan pihak. Segan untuk saya sebut nama tetapi tuan-tuan pun tahu siapa.
“Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir sedangkan jemputan dibuat dua hari lalu dan mereka ada di Perlis pada ketika itu.
“Sekarang, mereka ada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi dengan kapal terbang. Ini berdasarkan laporan yang saya terima,” titah baginda di Bilik Menghadap, Istana Arau di sini hari ini.
Sebagai rekod, Pengerusi BN Perlis yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim telah memecah keahlian Azlan sebagai ahli Barisan Nasional ekoran tidak mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang lain.
Azlan Man, 60, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua di Istana Arau di sini hari ini.- K! ONLINE










