Qari, qariah Malaysia ungguli majlis tilawah - Utusan Malaysia

Qari, qariah Malaysia ungguli majlis tilawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mei – Qari dan qariah dari Malaysia, Abdullah Fahmi Che Nor, 34, dan Suhailah Zulkifly, 29, masing-masing dinobatkan sebagai johan bagi kategori Tilawah al-Quran dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-60 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Kedua-dua pemenang tersebut berjaya membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan berserta wang tunai RM40,000.

Abdullah Fahmi yang berasal dari Kelantan berkata, dia agak terkejut dan sekali gus gembira de­ngan kemenangan tersebut.

“Menerusi pengalaman, se­ring bertalaki dengan guru serta menjaga kesihatan dengan betul antara amalan saya selama ini.

“Ini merupakan kali pertama saya memenangi di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Abdullah Fahmi, dia berharap dapat menyebar luas serta mengajar al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Suhailah, qariah yang berasal dari Melaka pula berkata, dia begitu bersyukur dengan kemena­ngan tersebut setelah beberapa kali mencuba namun gagal sebelum ini.

“Setiap kejayaan yang datang mesti ada ujian, saya sudah banyak kali sertai pertandingan sejak dari sekolah tetapi tidak pernah mendapat hadiah utama,” katanya.

Suhaila juga mengharapkan kemenangannya itu dapat menjadi inspirasi dan dorongan golo­ngan muda untuk mendalami al-Quran.

Dalam pada itu, kategori Menghafaz al-Quran, johan hafiz dimenangi oleh Kolim Siddiqee dari Bangladesh manakala hafizah, Bilghiss Dar yang berasal dari Mauritania.

Kedua-dua hafiz dan hafizah tersebut turut membawa pulang kepingan emas bernilai RM50,000, piala iringan serta wang tunai berjumlah RM20,000 setiap seorang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×