Pukul kanak-kanak, warga emas didenda RM6,000 - Utusan Malaysia

Pukul kanak-kanak, warga emas didenda RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mei – Seorang wanita warga emas yang mendakwa tindakannya memukul kanak-kanak perempuan dengan rotan sehingga rakaman kejadian itu tular dalam laman sosial tahun lalu bertujuan mendisiplinkan mang­sa, dihukum penjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

V. Tanawali, 63, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pe­ngakuan kepada bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun tersebut de­ngan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan serta kedua-dua tangan dan kaki.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Puchong Perdana, Jalan Mawar, Bukit Puchong dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi, September 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wanita yang menjaga kanak-kanak itu sejak kematian ibu bapa mangsa didakwa mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam G. Manimegalai memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah Tanawali menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh menjaga mangsa sejak lahir dan mangsa tidak mempunyai sesiapa lagi selepas ibu bapanya meninggal dunia.

“Tindakan tertuduh memukul mangsa adalah untuk mendisip­linkannya kerana enggan makan. Malah tertuduh yang sudah berusia masih memegang kepada prinsip mendidik dalam kala­ngan masyarakat dahulu kala iaitu merotan untuk mengajar,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya, V.V. Suloshani bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira peningkatan kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak dan demi kepenti­ngan awam.

“Tertuduh hanya mengaku bersalah selepas perbicaraan kesnya dijalankan dan bukan ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah,” kata Suloshani.

Hakim Norshila Kamaruddin turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda. Ta­nawali membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah dipukul oleh tertuduh di bahagian muka, badan, kaki dan tangan menggunakan rotan kerana mangsa tidak sengaja menjatuhkan makanan.

Rakan tertuduh yang berada di dalam rumah ketika itu te­lah merakam perbuatan itu yang kemudian tular dalam media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN