Program #QuranHour akan diperluas di semua peringkat komuniti - Utusan Malaysia

Program #QuranHour akan diperluas di semua peringkat komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


KUALA LUMPUR 28 Mei – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan memperluaskan Program #QuranHour di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota melalui Program Sayangi Komuniti bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah sosial di kawasan tersebut.

Pengarah JPNIN Wilayah Persekutuan, Suraya Wen berkata, program ini akan diadakan di 19 kawasan PPR terutama melibatkan ketua blok-blok komuniti yang menghadapi masalah untuk menangani pelbagai masalah seperti penagihan dan pengedaran dadah, kebersihan blok dan sentimen perkauman.

“Program #QuranHour di peringkat komuniti ini akan diadakan dalam masa terdekat selepas kami mendapatkan kerjasama dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) selaku penganjur program.

“Oleh kerana ketua-ketua blok komuniti ini turut melibatkan mereka yang bukan Islam, mereka juga kita akan ajak untuk turut serta dalam program bagi menjelaskan mengenai keindahan ajaran Islam dan Al-Quran ini sebenarnya untuk semua, sesiapa juga boleh mendapatkan pengajaran dari kitab suci ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Program #QuranHour peringkat JPNIN Wilayah Persekutuan di Wisma KWSG di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Eksekutif YWUI, Marhaini Yusoff dan seramai 50 pegawai dan kakitangan jabatan menyertai program ini.

Mereka mengalunkan bacaan Al-Quran dari Surah Al-Imran dari ayat 103 sehingga 105 dan sesi tadabbur dan tazzakkur surah tersebut dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul YWUI, Fazrul Ismail.

Fazrul berkata, tugas yang dilakukan oleh pegawai dan kakitangan JPNIN tidak ubah seperti menjejaki tugas-tugas dakwah seperti yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW selaku pesuruh Allah.

“Dengan berpegang kepada tali Allah, tugas Jabatan ini tentunya mengajak orang ramai ke arah kebaikan dan mengeratkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Berteraskan itu, ia bakal menjanjikan kejayaan dan berkat dan rahmat dari tuhan bagi mensejahterakan lagi kehidupan kita, baik di dunia mahupun di akhirat kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN