Ada yang menggelarnya El Toro, ada juga El Metador. Apa pun gelarannya, Mario Kempes akan terus diingati sepanjang zaman susulan kejayaannya membawa Argentina menjulang Piala Dunia pertama pada 1978 di Buenos Aires.
Dia merupakan legenda yang meraih Kasut Emas pada kejohanan tersebut dengan catatan enam gol. Ramai yang mengatakan popularitinya pada zaman tersebut setanding dua bintang Argentina, Diego Maradona and Lionel Messi.
Kempes, yang mengenakan gaya rambut seperti bintang rock British, Marc Bolan dari kumpulan T-Rex semasa kejohanan itu, merupakan watak penting dalam kejayaan Argentina apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan sewaktu perlawanan akhir menentang Belanda.
Kempes, yang kini berusia 64 tahun, pada awalnya meniti kemarau gol di peringkat kumpulan berdepan Hungary, Perancis dan Itali.
Bagaimanapun secara tiba-tiba, jurulatih Cesar Menotti memberitahu Kempes agar dia membuang misainya. Daripada situ, selepas empat perlawanan hambar, dia berjaya meledak gol termasuk dua gol ketika menumbangkan Belanda di pentas akhir.
“Mario merupakan fenomena ketika itu selaku pemain dan individu. Kami semua terhutang budi kepadanya di atas apa yang dilakukan pada tahun 1978 dan itu hebat,” kata Maradona yang juga wira Piala Dunia 1986.











