IPOH 23 Mei – Polis akan memohon untuk menyambung tempoh tahanan reman seorang lelaki yang menetak sehingga mati tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk Khamis lalu.;
![]() |
|
YAHYA ABD. RAHMAN
|
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, permohonan itu dibuat setelah tempoh reman selama tujuh hari terhadap lelaki berusia 35 tahun itu tamat esok.
Katanya, pihaknya akan merujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.
“Selain siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang melibatkan tiga mangsa yang maut, kita juga membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh empat mangsa yang cedera dalam kejadian itu.
“Oleh itu, tempoh reman yang agak panjang diperlukan untuk melengkapkan kertas siasatan ini dan dijangka minggu depan ia akan rujuk kepada pihak pendakwaan untuk cadangan menuduh suspek di bawah dua seksyen tersebut,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang, 17 Mei lalu, mangsa, Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, dan dua abangnya iaitu Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, maut setelah ditetak seorang lelaki yang mengamuk dan meluru masuk ke rumah mereka.
Ibu tiga beradik itu, Zuraidah Md. Ali, 35, yang kritikal akibat kecederaan parah di pergelangan tangan dengan ibu jari tangan kanan putus selain cedera di muka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.-UTUSAN ONLINE












