Polis mohon sambung reman kes amuk bunuh tiga beradik - Utusan Malaysia

Polis mohon sambung reman kes amuk bunuh tiga beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Polis akan memohon kepada mahkamah untuk menyambung tempoh tahanan reman seorang lelaki yang menetak sehingga mati tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, permohonan sambung reman itu akan dilakukan selepas tempoh reman selama tujuh hari terhadap lelaki berusia 35 tahun itu tamat esok. 

“Polis akan merujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan. 

“Kita turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh empat mangsa yang cedera dalam kejadian itu selain kertas siasatan mengikut Seksyen 302 kanun sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bubur Lambuk oleh Ketua Polis Perak di Bulatan Sultan Abdul Aziz, Jalan Raja Dihilir di sini hari ini.

Kosmo! pada 18 Mei lalu melaporkan, tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun maut selepas ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad di Rungkup. 

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2.30 petang itu, tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, dan dua abangnya iaitu Muhammad Firash Zaffril, 3, serta Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ibu tiga beradik itu, Zuraidah Md. Ali, 35, yang kritikal akibat kecederaan parah di pergelangan tangan dengan ibu jari tangan kanan putus selain cedera di muka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN