KLANG – Polis telah menerima sembilan laporan polis daripada sekumpulan lelaki dan wanita berasal dari Sabah yang didakwa dihalang ejen calon gabungan pakatan pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengundi di Kolej Vokasional Klang, di sini pagi tadi.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.15 pagi ketika kesemua mereka sedang beratur untuk mengundi di saluran masing-masing di pusat pengundian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, susulan kejadian itu, kesemua enam lelaki dan tiga wanita dari Sabah itu membuat laporan polis antara pukul 1.03 hingga pukul 1.44 petang di Balai Polis Pandamaran, di sini.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berpunca apabila mereka yang sedang beratur dan kemudian diberitahu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga ejen calon bahawa mereka tidak layak untuk mengundi.
“Alasan mereka (petugas SPR) kerana terdapat huruf H pada nombor kad pengenalan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Amar berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati kesemua pengundi berasal dari Sabah merupakan pengundi sah dan belum lagi mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berdasarkan keadaan jari mereka yang tiada kesan dakwat biru.
Beliau berkata, seramai lapan anggota unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerahkan ke sekolah berkenaan bagi mengelak sebarang kekacuan yang boleh menggangu kelancaran pusat mengundi berkenaan. – K! ONLINE










