Misha Omar raikan 25 tahun industri seni dengan showcase ‘Aku & Lelaki’ - Utusan Malaysia

Misha Omar raikan 25 tahun industri seni dengan showcase ‘Aku & Lelaki’

Misha Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi tersohor, Misha Omar bakal meraikan 25 tahun penglibatannya dalam industri seni menerusi showcase eksklusif Aku & Lelaki yang akan berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor pada 24 Oktober ini.

Showcase berkenaan menjadi antara langkah awal menuju konsert sempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni Misha yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Berbeza dengan persembahan sebelum ini, Aku & Lelaki mengetengahkan konsep yang meraikan keseimbangan dua sisi yang saling melengkapi, termasuk maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan.

Misha berkata, selain membawakan lagu popular daripada katalog peribadinya, dia turut akan memberikan interpretasi tersendiri terhadap karya ikonik yang pernah dipopularkan penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.

Katanya, pemilihan setiap lagu dilakukan dengan teliti bagi membentuk sebuah penceritaan yang selari dengan konsep showcase berkenaan.

“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu.

Aku & Lelaki adalah ruang dan peluang saya untuk meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya.

“Namun pada masa sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.

“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” katanya menerusi kenyataan.

Persembahan itu turut membawa penonton menyelami pelbagai emosi dalam perjalanan kehidupan, daripada cinta, kehilangan, kerinduan dan kegelisahan, sehingga kepada kegembiraan serta harapan.

Showcase berkenaan dianjurkan Double M Productions, manakala pengurusan konsert dikendalikan Altus Prohouse.

Bagi memastikan persembahan mencapai standard produksi yang diinginkan, Aku & Lelaki menampilkan barisan tenaga kreatif berpengalaman dengan Pengarah Muzik, Ee Jeng, menerajui susunan muzik dan keseluruhan persembahan.

Tiket Aku & Lelaki mula dijual pada 3 September lalu, bermula pukul 12 tengah hari menerusi Ticket2U.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×