PETALING JAYA: Selepas lebih sedekad menyepi daripada pentas, kumpulan rock alternatif, Disagree bakal kembali beraksi menerusi live showcase Black & White in Colour di REXKL, Kuala Lumpur pada 24 Oktober depan.
Lebih istimewa, persembahan berkenaan turut menjadi pentas pelancaran rasmi album terbaharu mereka, Black & White in Colour yang menghimpunkan 21 lagu.
Menurut kenyataan media, album itu akan ditawarkan secara eksklusif di lokasi showcase buat julung kalinya, sekali gus memberi peluang kepada peminat mendapatkannya lebih awal sebelum dilancarkan kepada umum.
“Lebih daripada sekadar sebuah konsert kemunculan semula, showcase itu menjadi ruang buat Disagree kembali mendekati peminat yang terus menyokong perjalanan muzik mereka selama ini.
“Pada masa sama, ia memperkenalkan muzik, kisah dan emosi di sebalik lembaran baharu kumpulan tersebut kepada generasi pendengar seterusnya,” katanya menerusi kenyataan.
Disagree mula mencipta nama sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an menerusi bunyi rock alternatif dan indie progresif, selain lagu seperti Crumbs, Suicide Note, Scarecrow Adams, Osaka dan Haley.
Album Black & White in Colour pula menjadi refleksi perjalanan Disagree, selain menggambarkan identiti kumpulan itu pada hari ini menerusi tema kekecewaan, trauma, pergolakan emosi, hubungan yang terjalin semula, kepercayaan dan turun naik kehidupan.
“Setiap lagu menggambarkan fasa berbeza dalam evolusi Disagree, daripada siapa kami dahulu, apa yang telah kami kehilangan sehinggalah ke pada diri kami pada hari ini,” katanya.
Karya berkenaan turut menggabungkan identiti rock alternatif yang menjadi trademark Disagree dengan pendekatan penceritaan dan penghayatan emosi yang lebih matang.
Album itu diterbitkan dan menjalani proses mixing oleh penerbit muzik, Greg Henderson, manakala proses mastering dikendalikan jurutera audio pemenang Anugerah Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.
Tiket Early Bird bagi kategori umum dijual pada harga RM80 dari 7 hingga 13 Ogos, manakala tiket biasa berharga RM100 dan mula dijual dari 14 hingga 25 Ogos.
Bagi pelajar pula, tiket Early Bird dan biasa masing-masing berharga RM60. Tiket boleh dibeli menerusi laman web ubertickets.asia.










