Polemik 14 hari siapa Menteri Besar Perlis akhirnya terungkai - Utusan Malaysia

Polemik 14 hari siapa Menteri Besar Perlis akhirnya terungkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Polemik individu yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar Perlis untuk membentuk kerajaan negeri baharu yang menimbulkan persoalan selama 14 hari akhirnya menemui jawapannya.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu akan diadakan di Istana Arau, Arau dekat sini esok.

 Menurut kenyataan itu, kedua-dua majlis itu akan dilaksanakan di Balai Mengadap, Istana Arau pada pukul 10.15 pagi esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

 Semalam, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau dipercayai berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perlis yang belum selesai.

 Ahmad Zahid disertai Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

 Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih belum mengumumkan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

ADS:D

 Situasi ini mengulangi apa yang berlaku pada 2008 pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) apabila Tuanku Syed Sirajuddin mengambil masa selama dua minggu untuk memberi perkenan kepada Menteri Besar Perlis pada masa itu, Datuk Seri Md. Isa Sabu menjawat jawatan itu.

 Difahamkan, tiga nama disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan itu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim iaitu adik bongsu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

 Dua lagi calon ialah ADUN Santan, Azizan Sulaiman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

 Pada PRU-14 lalu, BN mendapat majoriti apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, jumlah yang mencukupi untuk BN menubuhkan kerajaan negeri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN